Lima beranak berhimpit di dapur rumah - Utusan Malaysia

Lima beranak berhimpit di dapur rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 18 Julai. – Seorang ibu tunggal bersama empat anaknya terpaksa berhimpit di ruang dapur sebuah rumah di Lorong Pondok Haji Ghani, Kampung Kubang Bemban di sini gara-gara kesempitan hidup.

Idanorimi Mohamed, 43, berkata, mereka sekeluarga berhimpit di ruang dapur yang sempit itu sejak empat tahun lalu selepas tidak mampu sewa rumah.

Menurutnya, sebelum ini dia menyewa sebuah rumah dengan kadar RM300 sebulan di Rantau Panjang, namun terpaksa membuat keputusan untuk berpindah selepas berpisah dengan suami.

“Buntu dengan situasi itu, arwah abang memberi kebenaran untuk saya dan anak-anak menjadikan ruangan dapur rumahnya sebagai tempat berlindung.

“Walaupun sempit, namun saya tidak mempunyai pilihan kerana mahu mengelak daripada membayar sewa,” katanya di sini hari ini.

Idanorimi memberitahu, pendapatannya sekitar RM20 sehari sebagai pemotong ayam menyulitkan dia untuk memiliki sebuah rumah walaupun mempunyai sebidang tanah.

Katanya, pendapatan itu hanya cukup untuk perbelanjaan harian selain terpaksa menyara empat lagi anaknya yang masih bersekolah.

“Anak sulung berusia 16 tahun manakala bongsu lapan tahun.

“Namun bebanan saya sedikit berkurang apabila memperoleh bantuan bulanan sebanyak RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk belanja sekolah anak,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Idanorimi Mohamed di 03-027-02-071990-6. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN