SEREMBAN – Lima anggota polis ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu kes rasuah di negeri ini hari ini.
Anggota polis masing-masing berpangkat sarjan, lans koperal dan koperal terbabit disyaki berpakat meminta rasuah RM5,000 daripada seorang lelaki.
Perbuatan tersebut dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan yang dikatakan terlibat dalam aktiviti menjual dadah.
Kesemua suspek berusia 29 hingga 51 tahun masing-masing ditahan semalam di Jalan Besar berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dan pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini.
Perintah reman ke atas kelima-lima suspek dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Haryatie Mohd. Saini di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Permohonan reman dibuat bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE










