Dalam beberapa hari ini ada banyak isu semasa yang hangat diperkatakan dan diperdebatkan. Isu berkaitan masalah sosial sering kali menjadi satu topik utama yang menjuarai pelbagai isu yang hadir. Jelas di media sosial baru-baru ini isu transgender pula menjadi bualan hangat hingga mewujudkan pelbagai kesan kepada komuniti masyarakat.
Seperti yang sedia maklum isu teguran saya yang viral melibatkan seorang usahawan selebriti produk kecantikan juga menjadi tumpuan dalam seminggu dua ini.
Mana tidaknya teguran saya bukan sahaja bersifat tegas dan agresif malah tidak sama seperti para ustaz dan motivator ketika memberi nasihat. Bahkan saya sendiri menghidupkan gelombang pada netizen untuk memboikot produk kecantikan diusahakan oleh selebriti ini.
Pada awalnya saya tidak mahu untuk bertindak dan mahu berdiam diri bila melihat satu video ketika sesi bergambar yang dilakukan di satu lokasi bersama rakan usahawan selebriti tersebut yang menonjolkan bahagian tubuh badannya kemudian dan ditayangkan kepada awam sehingga mencapai ratusan ribu tontonan di Instagram.
Namun melihat pada trend beberapa tahun ini, golongan transgender ini semakin membiak dengan pantas ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, menyebabkan saya perlu untuk mengambil tanggungjawab moral menegur dengan cara dan warna yang mendapat perhatian dan tumpuan.
Ia agar masyarakat umum tahu dan sedar bahawa kami, para pendakwah serius dalam isu keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan umat Islam di Malaysia tercinta ini.
Seruan boikot ini bertepatan dengan Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan olen Imam Bukhari tentang tindakan memboikot, memulau dan menyisihkan ‘sementara’ kepada golongan lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki agar menjadi pengajaran selain memberi masa rehat untuk golongan ini berfikir dan bermuhasabah.
Malah, tindakan memboikot, memulau dan menyisihkan kumpulan ini adalah jalan terakhir selepas segala bimbingan dan pendidikan yang diberikan sebelum ini telah diabaikan.
Malah golongan ini pula tanpa takut mencabar segala nasihat serta bimbingan yang diberikan, juga secara terus-terusan mempamerkan kelakukan dan gaya songsang di khalayak ramai.
Bimbingan
Sekian lama kita berusaha untuk mewujudkan suasana yang baik dengan pendedahan ilmu agama, kematangan dalam berfikir, menghidupkan keharmonian dalam menghormati hak jantina lelaki dan perempuan di negara kita.
Malah program Mukhaiyam JAKIM bagi golongan LGBT juga dilakukan secara kerap bagi mendekati dan memberi bimbingan ilmu yang mantap agar mereka tidak terus sekali lagi terkeluar dari landasan dan corak fikir sebagai seorang manusia yang waras.
Saya tidak pernah sesekali melahirkan ruang diskriminasi kepada golongan lembut, pondan dan mak nyah. Malahan, kami sering bersama berkongsi ilmu untuk memastikan naluri dan perasaan mereka terpelihara.
Kita tidak pernah setuju dengan tindakan mereka berpakaian wanita, berkelakukan seperti wanita tetapi dalam masa yang sama kami juga sanggup melapang masa untuk terus menasihati dan memimpin mereka ke jalan yang Allah SWT redai.
Inilah makna hikmah yang diajarkan Rasulullah SAW. Konsep teguran yang saya hasilkan adalah bersifat agresif. Ya, ramai yang tidak setuju dengan cara dan skil saya menyampaikan nasihat, tetapi formula:
“Berlembut pada yang jahil, berkeras pada yang degil” menjadi formula dakwah yang asas dan wajar dipegang oleh semua pendakwah ketika benar-benar serius untuk melakukan ‘Taghyir Mungkar’ iaitu perubahan dan pencegahan agar kemungkaran tidak dibiarkan berleluasa.
Ini juga berlaku selepas kemungkaran dan kemaksiatan dilakukan secara terbuka, malah saya mewujudkan kesedaran jutaan masyarakat agar dosa yang terbuka perlu ditegur secara terbuka. Sebaliknya dosa yang dilakukan secara tertutup juga harus ditegah, namun dengan cara yang tersembunyi dan tidak mengaibkan.
Begitulah hakikat seorang daie, tugas menyampaikan kebenaran bukanlah mudah, ia memerlukan kesabaran, ketabahan, sifat rasional yang tinggi kerana rata-rata masyarakat yang menyebelahi usahawan selebriti ini menempelak serta membenci saya dengan penuh emosi.
Setiap hari ada saja mesej ancaman, ugutan, surat layang yang dihantar kepada saya agar berhenti mengganggu kumpulan transgender ini.
Walau bagaimanapun, dengan senario ‘Malaysia Baru’ ini memberi ruang kepada masyarakat untuk bersuara secara terbuka dan berhemah agar nilai budi, moral dan bertuhan ini dapat diaplikasikan dengan sempurna.
Ia juga bertepatan dengan harapan serta impian Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Mei 2018 bagi Malaysia Baru iaitu:
“Pakatan Harapan percaya pada hak asasi manusia tetapi tidaklah begitu liberal sehingga tidak ada had kepada kebebasan sama sekali. Segala tuntutan nafsu yang keterlaluan tidak dibenarkan.”
Saya berharap agar pihak kerajaan bersama-sama mencari jalan penyelesaian dan kesimpulan terbaik bagi masalah sosial seperti ini yang kian merebak ke seluruh masyarakat.
Saya yakin dan percaya dengan komitmen kerajaan bagi menambah baik usaha untuk membanteras secara berkhemah dan bijak bagi menangani isu transgender seperti ini.
Semoga ada jalan dan sinar kembali kepada umat Islam secara khususnya dan kepada rakyat Malaysia secara umumnya. Kita bersama-sama mahukan generasi terbaik dan legasi pencetus akhlak yang baik dan tauladan yang murni untuk masa akan datang .
Seandainya hari ini kita membiarkan penyakit berkudis ini bertapak, maka sedikit demi sedikit ia akan menjadi barah yang tidak mampu diubati. Cegah sebelum parah, dakwah sebelum rebah, pada Allah saya berserah.
* MOHAMAD AMIRUL AMIN MAULA LOKMAN HAKIM atau PU Amin adalah finalis Pencetus Ummah 2015.










