Lemas: Tubuh jawatankuasa siasat penganjuran Triathlon - Utusan Malaysia

Lemas: Tubuh jawatankuasa siasat penganjuran Triathlon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 15 Julai – Satu jawatankuasa akan ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyiasat penganjuran sukan lasak, Port Dickson International Triathlon 2018 ekoran seorang peserta mati lemas manakala seorang lagi masih hilang hari ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, program triatlon bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Port Dickson sepatutnya mengutamakan aspek keselamatan peserta.

Menurut beliau, kementerian tersebut akan menyiasat sama ada penganjuran pertandingan itu mendapat kebenaran pihak­nya atau sebaliknya sebelum tindakan susulan diambil.

‘‘KBS akan mengkaji seca­ra menyeluruh penganjuran pertandingan ini sama ada ia bercanggah dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 atau tidak.

‘‘Buat masa ini, kita masih menunggu laporan bedah siasat mayat sementara mencari se­orang lagi yang hilang,’’ kata­nya dalam sidang akhbar ketika menin­jau lokasi mencari dan menyelamat di Pantai Batu 5 di sini hari ini.

Yang turut serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis serta wakil pihak penganjur.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa yang maut ialah Tharm Wei Wong, 39, dari Pulau Pinang manakala peserta yang masih hilang merupakan warganegara Hong Kong, Yuan Chi Yuen, 42.

Wei Wong dikatakan lemas semasa berenang dari garisan permulaan menuju ke pantai sejauh 750 meter.

Dalam pertandingan triatlon yang disertai 1,230 peserta itu, mereka berdepan cabaran be­renang, berbasikal dan berlari.

Terdahulu, Syed Saddiq hadir ke Hospital Port Dickson untuk bertemu rakan Wei Wong bagi mendengar kisah sebelum kejadian tersebut.

‘‘Saya juga telah menghubungi ibu mangsa yang berada di Pulau Pinang dan menzahirkan simpati atas kejadian yang menimpa anaknya,’’ katanya.

Syed Saddiq berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada jarak renangan yang terlalu jauh serta ombak dan angin kuat.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi ketika Wei Wong dan peserta lain berenang dari garisan permulaan menuju ke pantai sejauh 750 meter.

“Wei Wong yang ditemukan lemas telah dibawa ke tepi pantai oleh anggota bomba yang cuba memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut tetapi gagal.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson, namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis pula berkata, operasi mencari Chi Yuen di laut diteruskan sehingga pukul 10 malam.

“Bagaimanapun, pemantau­an menggunakan bot dan di tepi pantai diteruskan sehingga mang­sa ditemui,” jelasnya.

Operasi melibatkan 36 anggota bomba, 13 anggota polis, 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, tujuh penguat kuasa MPPD dan empat anggota Polis Marin.

Sehingga pukul 7 malam ini, operasi tersebut masih gagal mengesan Chi Yuen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN