Lelaki ugut polis, khianat lori dihukum denda RM4,500 - Utusan Malaysia

Lelaki ugut polis, khianat lori dihukum denda RM4,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Gara-gara mengugut mahu membunuh seorang polis dan melakukan khianat ke atas lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang lelaki dihukum denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Mohd. Syamil Kamil Mohd. Radzi, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan seorang anggota polis, Mohd. Shukur Zubir dengan mengeluarkan perkataan: “Saya nak bunuh kalau saya jumpa polis sebab polis dah malukan dan menjatuhkan maruah saya.” 

Kenyataan tersebut diucapkan tertuduh di Kilometer 287.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada pukul 2.55 petang 18 Julai lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd. Syamil Kamil turut didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah lori jenis Nissan YU41H4 milik PDRM hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM1,000 kepada PDRM pada masa dan lokasi sama. 

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Alif Afandi Zulkefli. 

Siti Hafiza kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 bagi tuduhan pertama. Sekiranya tertuduh gagal membayar, dia akan dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan.  

Tertuduh turut dihukum denda RM2,500 bagi pertuduhan kedua atau dikenakan hukuman penjara selama 12 bulan jika gagal membayarnya. 

Mohd. Syamil Kamil bagaimanapun membayar kedua-dua denda berkenaan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN