BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki yang terlibat beberapa kes rogol selepas memperdaya gadis menerusi aplikasi WeChat berjaya ditahan polis di sebuah pusat membeli belah di Perai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang dipercayai ketika sedang menunggu seorang lagi mangsa yang dikenalinya menerusi Wechat.
“Hasil maklumat dan bantuan orang awam, polis berjaya menahan lelaki itu dan merampas sebuah telefon bimbit yang digunakannya untuk memperdaya gadis-gadis dengan mendakwa menjual ubat membesarkan payudara.
“Suspek juga menerusi WeChatnya menyamar sebagai wanita dan akan menyuruh pembeli yang membeli ubatnya menghantar gambar payudara untuk melihat sama ada terdapat perubahan selepas memakan ubat tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas itu lelaki berkenaan akan memaksa pembelinya datang ke pusat membeli belah tersebut dan jika ingkar dia akan menyebarkan gambar payudara mangsa sebelum membawa ke sebuah kedai kosong di tingkat empat dan merogol gadis tersebut. – Bernama









