PULAU PINANG 16 Julai – Seorang lelaki putus tangan kanan selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kereta jenis Jaguar yang dipandu mangsa, Ng Kok Keat, 36, menghala ke Bayan Lepas di sini, dikatakan hilang kawalan dan terbabas sehingga terbalik.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, mangsa yang memandu bersendirian tidak tersepit di dalam kenderaan namun tangan kanannnya terputus.
“Siasatan awal juga mendapati mangsa tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











