KUALA LUMPUR 17 Julai – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu merempuh gerai yang terletak di bahu jalan di Jalan Kuchai Maju 4, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.56 pagi itu, mangsa, Lim Chee Wei, 41, maut ketika mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Zulkefly Yahya berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati, kenderaan yang dipandu mangsa merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di Cheras pagi tadi.
“Sehubungan itu, kenderaan terbabit akan dihantar ke jabatan kimia dan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah di Ibu pejabat Polis Daerah, Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE










