BANGI 26 Julai – Pelakon Rita Rudaini, 42, mengakui banyak menerima mesej peribadi dalam Instagram daripada lelaki muda yang merayu untuk memperisterinya.
Menurut pelakon drama Misi Laksa dan Laksam ini, dia dihujani mesej tersebut ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar baru-baru ini.
Menerusi kenyataan itu, Rita menyatakan bahawa dia tidak kisah jika berjodohan dengan lelaki muda asalkan mereka matang dan menyayangi anak-anaknya.
“Banyak mesej yang saya terima lebih-lebih lagi daripada lelaki muda selepas saya berikan kenyataan itu. Majoriti daripada mereka mengajak saya berkahwin.
“Tetapi saya tak pernah memberi respons kepada mesej tersebut kerana tidak berminat untuk menjalin hubungan serius,” jelas Rita ketika ditemui dalam majlis pelancaran Najwa Medispa dan drama atas talian Projek Dapat Baby, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rita turut mengakui hatinya belum bersedia untuk mencari pasangan hidup memandangkan dia kini bahagia menjalani kehidupan bersama dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7.
“Ramai yang bertanya sama ada saya sunyi atau tidak, yang boleh saya katakan, saya tiada masa untuk berasa sunyi kerana saya terlalu sibuk menguruskan anak-anak dan kerjaya saya.
“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang sebab itu saya tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri lagi.
“Jika hati saya terbuka nanti, saya ingin mencari lelaki yang menyayangi anak-anak saya seperti saya sayangkan mereka. Perasaan anak-anak lebih penting berbanding perasaan saya sendiri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










