KUALA LUMPUR 16 Julai – Kegiatan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing membawa padah apabila ditangkap di rumahnya di Puchong Permai, dekat sini, 12 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, lelaki itu ditahan pada malam sama selepas seorang warga Bangladesh membuat laporan polis.
“Modus operandinya ialah menyamar sebagai anggota polis dengan memakai jaket berlogo polis dan menahan warga asing sebelum menyamun mereka.
“Tangkapan dibuat pada malam yang sama selepas laporan dibuat dirumahnya dan kita menemukan pasport mangsa, vest polis dan lima buah telefon curi,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Menurut Mohammad Azlin, siasatan awal mendapati suspek aktif melakukan kegiatan samun di kawasan Bukit Puchong, dekat sini.
Jelasnya, suspek ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 dan 394 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan samun. – UTUSAN ONLINE










