Lelaki maut treler jatuh gaung - Utusan Malaysia

Lelaki maut treler jatuh gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seorang lelaki maut setelah treler yang dipandunya terjunam ke dalam gaung di Kilometer 20.3, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, dalam kejadian sekitar pukul 4 pagi itu, mangsa, Mohd. Faisal Zainudin, 35, sedang memandu sebuah treler jenis Volvo seorang diri dengan membawa muatan berupa tiang konkrit menghala ke arah Selatan.

“Hasil siasatan yang dilakukan mendapati mangsa telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian lalu melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lebih kurang 10 meter di sebelah kiri lebuh raya.

“Akibat kemalangan tersebut, Mohd. Faisal yang berasal dari Matang, Perak meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azman, kejadian tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan memohon sekiranya terdapat saksi agar tampil membantu siasatan.

“Saksi bebas dipohon agar berhubung dengan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Adibatul Huda Azizi di talian 011 10206989 bagi membantu siasatan,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN