Lelaki maut kereta dipandu terjunam dalam gaung - Utusan Malaysia

Lelaki maut kereta dipandu terjunam dalam gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG -Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam lapan meter di Kilometer 18.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) menghala ke Kuala Selangor, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, dalam kejadian sekitar pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Lee Kwai Leong, 69 yang memandu kereta jenis BMW 328i berseorangan sedang dalam perjalanan menghala ke Kuala Selangor dari arah Rawang.

“Sebaik tiba ke lokasi kejadian, kereta dipandunya dipercayai telah hilang kawalan sebelum merempuh tembok simen pemisah jalan dan terbabas ke bahagian kiri lalu terjunam ke dalam gaung sedalam lapan meter yang berada di sebelah kiri lebuh raya.

“Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa yang menetap di Taman Tun Dr. Ismail itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zharif di talian 017 6645812 bagi membantu siasatan,” ujar beliau. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN