Lelaki maut kereta bertembung lori kargo - Utusan Malaysia

Lelaki maut kereta bertembung lori kargo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU 26 Julai – Seorang lelaki terbunuh selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori kargo berhampiran Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Tatau, Jalan Bintulu-Sibu di sini pagi tadi.

Jurucakap bomba berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 10.33 pagi.

Katanya, mangsa yang memandu kereta Proton Saga Flx tersepit dalam kenderaan setelah gagal mengelak daripada bertembung dengan sebuah lori kargo yang sarat membawa barang dari arah bertentangan.

“Sebaik sahaja dikeluarkan, mangsa, Galambong Awan, 46, didapati sudah meninggal dunia oleh paramedik ambulans yang berada di tempat kemalangan.

“Pemandu lori turut mengalami kecederaan di bahagian kaki dan pinggang, manakala kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori telah diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN