Lelaki maut, kereta bertembung dengan lori kargo - Utusan Malaysia

Lelaki maut, kereta bertembung dengan lori kargo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATAU – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori kargo di Kilometer 1, Jalan Tatau-Bintulu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, mangsa, Galambong Awan, 46, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum nahas itu, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga FLX dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Tatau dari arah Bintulu.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori kargo.

“Impak rempuhan itu telah mengakibatkan kereta mangsa terhumban ke bahu jalan dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Pemandu serta kelindan lori kargo yang masing-masing berusia 33 dan 25 tahun itu pula cedera ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN