BATU GAJAH 24 Julai – Seorang lelaki warga emas maut setelah dilanggar oleh isterinya yang sedang mengundurkan kereta di pekarangan rumah mereka di Taman Intan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi itu, Chan Moi Chai, 68, maut akibat kecederaan parah di kepala, dada dan pelvis.
Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Tan Boon Hooi berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika suri rumah berusia 65 tahun terbabit baru sahaja pulang ke rumahnya dari Pasar Batu Gajah.
Menurutnya, semasa sedang mengundurkan kenderaan jenis Toyota Corolla, wanita itu gagal mengawal keretanya lalu merempuh tiang rumah dan melanggar mangsa yang berada di belakang.
“Bagaimanapun isteri mangsa tidak cedera dalam kejadian itu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat,” katanya.
Tambah Bon Hooi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.










