KUALA LUMPUR 16 Julai – Seorang lelaki dipercayai mengendalikan pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 bernilai RM3.5 juta ditahan dalam serbuan di sebuah pejabat di Empire Tower, Subang Jaya dekat sini semalam.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kegiatan tersebut yang giat dikendalikan lelaki berusia 21 tahun itu dipercayai telah bergiat aktif sejak sebelum perlawanan pusingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 di Russia.
“Pertaruhan dibuat menerusi sebuah laman web menggunakan telefon bimbit, laman sosial dan aplikasi komunikasi.
“Kita turut merampas enam monitor, satu unit router; satu kamera, dua unit modem, tiga cakera keras, dua pembesar suara, empat pemacu komputer, dua tac generator, dua kad akses dan enam telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










