PETALING JAYA 23 Julai – Seorang penjaga tempat letak kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan anak kekasihnya dan mengugut bunuh kedua-dua beranak itu, bulan lalu.
Bagi pertuduhan pertama, K. Thevindran, 32, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di bahagian kepala di sebuah flat, Taman Desaria 1, Jalan PJS 5/9 di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 12 Jun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua,tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan ke atas kanak-kanak itu dan ibunya, M. Vellaiyammah, 55, dengan mengeluarkan kata-kata akan membunuh mereka di tempat, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy sementara Thevindran tidak diwakili peguam.
Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










