ALOR SETAR 24 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah disyaki heroin seberat 3.28 kilogram yang dianggar bernilai RM100,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah Kampung Nyior Chabang Atas, Langkawi semalam.
Dalam serbuan pada kira-kira pukul 5.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu pejabat Daerah (IPD) Langkawi turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penangkapan pemuda itu adalah hasil maklumat orang awam yang curiga dengan gaya hidup suspek yang mewah dan gemar berbelanja besar pada usia muda.
“Suspek ditahan dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan. Pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan, pihak polis menjumpai lapan paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin dalam sebuah beg galas jenama ‘Paul London USA’.
“Nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM100,000. Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut dirampas wang tunai berjumlah RM1,200,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Iqbal, hasil siasatan awal juga mendapati bekalan dadah tersebut untuk diedarkan kepada penagih-penagih di pulau peranginan berkenaan.
“Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian urin terhadapnya juga negatif. Suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










