Lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk diisi di IKEA Batu Kawan menjelang Mac 2019 - Utusan Malaysia

Lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk diisi di IKEA Batu Kawan menjelang Mac 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN – Peruncit kelengkapan rumah terkemuka Sweden, IKEA tampil menawarkan variasi peluang pekerjaan di gedung baharu, IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang menjelang pembukaannya pada 28 Mac 2019.

IKEA menerusi satu kenyataan akhbar hari ini, telah mempelawa seluruh rakyat di negara ini terutamanya penduduk dari kawasan utara Malaysia untuk menghadiri sesi temuduga yang bakal berlangsung dari 27 hingga 29 Julai ini pada pukul 9 pagi di Hotel The Light, Seberang Jaya di sini.

Gedung baharu tersebut terletak di perbandaran Batu Kawan yang berpotensi tinggi itu bersedia membuka lebih 200 peluang pekerjaan yang sepenuh masa dan separuh masa termasuk pelbagai jawatan dalam bahagian jualan, hubungan pelanggan, makanan dan minuman, logistik, gudang serta lain-lain lagi.

“Kami bersedia untuk mengalu-alukan penyertaan para pengguna dan individu berminat dengan kelengkapan rumah untuk menyertai kumpulan perintis di IKEA Batu Kawan. Di IKEA, kami dipacu untuk mencipta kehidupan harian yang lebih baik untuk orang ramai dan ia dicerminkan di tempat kerja kami. Kami turut menyediakan suasana kerja yang menyeronokkan buat para pekerja sama seperti para pelanggan yang hadir ke gedung-gedung ini,” demikian kata Pengurus Kedai IKEA Batu Kawan, Pathmalingam Arumugam. 

Berbekalkan budaya dan nilai-nilai unik, IKEA telah sekian lama berpegang kepada komitmen untuk menjadi tempat kerja yang hebat. Selain menyediakan hala tuju kerjaya serta peluang pembelajaran luar biasa, rakan-rakan sekerja IKEA juga dapat menikmati pelbagai manfaat termasuk kemudahan perubatan, diskaun pekerja sebanyak 15 peratrus bagi semua produk IKEA, subsidi makanan di restoran rakan sekerja IKEA, hadiah perayaan dan sebagainya.

Tambahan pula, para ibu di IKEA layak menikmati cuti bersalin selama empat bulan berturut-turut manakala golongan bapa pula dapat menikmati cuti berbayar selama empat minggu.

Polisi baharu berkenaan telah diperkenalkan pada tahun lalu untuk menyambut nilai sama rata antara golongan adam dan hawa. 

Selepas proses pengambilan pekerja itu selesai, calon-calon yang berjaya dipilih akan menjalani latihan sebelum pembukaan IKEA Batu Kawan yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mac depan. 

Tempoh persediaan yang lama itu, bertujuan untuk memastikan kumpulan berkenaan benar-benar bersedia dalam memberikan para pelanggan pengalaman membeli-belah yang konsisten di IKEA.

Sejajar dengan pelan peluasan IKEA di Asia Tenggara, IKEA Batu Kawan, gedung pertama di kawasan utara akan terus menyediakan akses mudah kepada kelengkapan rumah dalam reka bentuk menarik dan berkualiti pada harga mampu milik. – K! ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN