Lapor polis edaran surat layang pada Kongres Pafa - Utusan Malaysia

Lapor polis edaran surat layang pada Kongres Pafa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 21 Julai – Dua ahli majlis Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) membuat laporan polis berikutan surat layang yang memfitnah mereka ketika berlangsungnya Kongres Pafa hari ini.

Surat layang yang dimasukkan dalam beg perwakilan mendakwa dua pegawai Pafa iaitu Mahhadee Ramlee dan Johari Baharom melakukan pelbagai salah laku seperti membawa masuk penonton ke dalam stadium dan penipuan penjualan tiket.

Mahhadee berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah dan tohmahan yang bertujuan menjejas imej dan maruah beliau dan Johari.

Beliau yang menjadi ahli majlis Pafa sejak 2011 berkata, surat layang itu bertujuan menjatuhkan maruah mereka.

“Pihak yang berkenaan berharap dapat menyingkir kami dari persatuan dalam pemilihan pada kongres dengan cara begini.

“Surat layang ini bertujuan untuk mempengerahui perwakilan agar tidak mengundi kami yang mendapat pencalonan tertinggi iaitu 15 daripada 18 ahli gabungan,” katanya.

Beliau ditemui selepas bersama Johari membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang, hari ini.

Pada pemilihan hari ini, Mahhadee mengekalkan jawatannya manakala Johari kalah selepas undian semula selepas keputusan undi terikat dengan dua calon lain.

Sementara itu, Johari berkata, mustahil mereka boleh terlibat dalam penjualan tiket kerana tiada akses untuk mendapatkan tiket.

“Kami tidak terbabit dengan tiket kerana sebagai pegawai keselamatan kerja kami meronda dan melihat kawalan di pintu masuk stadium,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN