KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen ternyata kecewa dengan aksi anak-anak buahnya melepaskan tiga gol dalam tempoh lima minit, sekali gus tewas 2-4 kepada Australia A pada aksi persahabatan pertama di Institut Sukan Australia (AIS), Perth semalam.
![]() |
|
VAN HUIZEN
|
Van Huizen menyifatkan barisan pemainnya terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan aksi itu hingga melakukan beberapa kesilapan mudah yang menyaksikan pihak lawan berjaya mengambil kesempatan.
“Kami memberikan pukulan sudut penalti yang tidak sepatutnya kepada Australia A selain melepaskan penguasaan bola dengan mudah. Kami juga ada beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti tetapi tidak memanfaatkannya.
“Aksi babak kedua lebih berbeza apabila kami banyak menekan Australia A sehingga berjaya menjaringkan gol tetapi sekali lagi memberikan pukulan sudut penalti mudah kepada pihak lawan.
“Secara keseluruhan, kami dihukum disebabkan kesilapan di kawasan sendiri yang sepatutnya dapat dielakkan. Saya kecewa dengan kekalahan ini,” katanya.
Empat gol Australia A diperoleh pada minit ke-23, ke-24, ke-28 dan ke-53. Dua jaringan skuad negara dijaringkan Muhammad Razie Abd. Rahim dan Faizal Saari masing-masing pada minit ke-50 serta ke-54.
Malaysian Tigers juga melakukan penggiliran terhadap dua penjaga gol, S. Kumar dan Mohammad Hairi Abd. Rahman untuk setiap suku masa, namun tidak dapat menggunakan khidmat kapten, Mohammad Sukri Abd. Mutalib dan Nabil Fiqri Mohd. Noor yang masih demam.
Skuad negara akan meneruskan aksi kedua daripada lima siri persahabatan dengan Australia A pagi ini.
Sementara itu, dua gol daripada Fazilla Sylvester Silin dan Hanis Nadiah Onn menyaksikan skuad wanita negara mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Akademi Sukan Queensland (QAS) di Pusat Hoki Brisbane semalam.
Ia menyaksikan pasukan kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah masih belum tewas dalam dua perlawanan persahabatan dengan QAS selepas terdahulu seri 1-1 kelmarin.











