KUALA LUMPUR 23 Julai – Penyanyi Kelly Azman menyangkal tuduhan dia berhutang RM6,000 untuk penghasilan single No No No yang sudah pun berada di pasaran sebulan lalu.

Kelly atau Raja Azman Raja Ayob sama sekali tidak tahu mengenai hal tersebut selepas rakan baiknya bertanya kesahihan cerita yang didengari.
“Rupa-rupanya ramai yang bercerita di belakang saya dan cakap saya ada meminjam duit dengan si pemiutang walhal ia langsung tidak benar.
“Kawan saya memang mengenali orang yang buat cerita itu dan apabila ia sampai ke telinga saya, dah tentulah saya terkejut. Saya bukan kaki berhutang.
“Dakwaan itu seolah sengaja mahu merosakkan reputasi saya sebagai artis apatah lagi dia juga merupakan salah seorang rakan baik saya tetapi tak sangka dia sanggup bertindak demikian dan cuba memburukkan nama saya.
“Saya ada bersemuka dengan dia dan minta untuk dia jelaskan semuanya tetapi dia berlagak seperti tidak ada-apa yang berlaku. Saya selepas penjelasan ini tidak timbul lagi isu yang mengaibkan saya,” katanya kepada Utusan Online.
Jelas Kelly, demi minat yang mendalam terhadap dunia nyanyian, dia sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk single pertamanya.
“Saya guna duit hasil pekerjaan sebagai pengacara majlis dan kerja-kerja seni lain tanpa berhutang. Memang kos untuk hasilkan single ini menelan belanja RM 6,000 tapi saya bayar guna wang sendiri.
“Single sulung ini merupakan hasil ciptaan saya sendiri. Bagaimanapun, susunan muzik lagu ini dibuat oleh penyanyi Asfan kerana saya percaya dengan karyanya.
“Lagu ini sebenarnya dah setahun dirakamkan. Akibat kekangan masa yang tak menentu, ia terpaksa ditangguhkan untuk waktu yang agak lama kerana saya terikat dengan tuntutan kerja.
“Cuma baru kini saya rasa sesuai untuk diperdengarkan kepada semua. Alhamdulillah, lagu ini dah pun berada di Youtube dan sudah mengumpul ribuan tontonan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










