ATHENS 25 Julai – Pihak berkuasa Greece yang mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari, kini giat melakukan operasi mencari mangsa selepas sekurang-kurangnya 79 orang maut akibat kebakaran hutan besar berhampiran Athens.
BBC melaporkan, operasi berkenaan dilakukan di laluan darat dan laut.
Angin kencang ketika kejadian menyemarakkan lagi kebakaran, menyebabkan banyak penduduk terperangkap di dalam kediaman dan kenderaan mereka dan terdapat mereka yang terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Seorang bapa, Yiannis Philippopoulos memberitahu kepada media tempatan bahawa anak kembar perempuannya yang berusia sembilan tahun masih hilang sehingga kini.
Katanya, dia hanya melihat anak kembarnya itu menerusi rakaman televisyen ketika diselamatkan oleh bot nelayan.
Sejak itu, Philippopoulos tidak mendapat sebarang khabar dari anaknya yang berada bersama-sama bapa beliau.
Setakat ini, tiada angka rasmi tentang bilangan mangsa yang hilang tetapi jumlahnya dianggarkan sebanyak 30 penduduk.
Datuk Bandar Rafina, Evangelos Bournous sebelum ini menjangkakan angka korban boleh meningkat sehingga 100 orang dalam tempoh terdekat jika kebakaran masih tidak terkawal.
Semalam, sebanyak 26 mayat dewasa dan kanak-kanak ditemukan dalam keadaan saling berpelukan di bahagian atas tebing di timur laut Athens.
Dalam pada itu, seorang mangsa yang terselamat, Kostas Laganos memberitahu bahawa api marak menyambar bahagian belakang badannya menyebabkan dia terpaksa terjun ke dalam laut.
Katanya, banyak mangsa lain mengambil tindakan yang sama tetapi ada antara mereka tidak terselamat.
Sekurang-kurangnya 150 orang cedera di kawasan pusat peranginan Mati di Attica.
Sementara itu, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada perbuatan pihak yang sengaja mencetuskan bencana itu bertujuan merompak kediaman yang ditinggalkan oleh penduduk.










