KUALA LUMPUR 25 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mengkaji daripada semua sudut pelaksanaan caruman dua peratus gaji suami sebagai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah sebelum dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menggesa kerajaan menjelaskan dengan terperinci mekanisme caruman dua peratus KWSP tersebut sebelum benar-benar melaksanakannya.
Katanya, pelaksanaan caruman itu juga perlu meliputi pelbagai situasi dan keadaan tanpa ‘melupakan’ pihak-pihak lain seperti bagaimana mekanisme yang akan dilakukan sekiranya suami tidak bekerja.
“Selain itu, kerajaan juga perlu menjelaskan bagaimana pula caruman akan dilaksanakan bagi suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri?
“Sehubungan itu, saya menuntut supaya kerajaan memberikan penerangan yang jelas dan terperinci mengenai mekanisme pelaksanaan caruman dua peratus KWSP kepada suri rumah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pengenalan skim caruman KWSP untuk suri rumah merupakan satu daripada 10 janji dalam tempoh 100 hari manifesto PH sempena PRU-14 lalu dengan kadar caruman yang dicadangkan melibatkan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan.
Walaupun proses pelaksanaan janji ini telah banyak diperkatakan terutamanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, namun sehingga hari ini masih belum ada kata putus bila janji ini akan mula ditunaikan sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE










