PUTRAJAYA – Selepas teruk dikecam pelbagai pihak, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran semalam membuat permohonan maaf gara-gara ucapannya yang dikatakan merujuk orang Melayu sebagai pendatang dalam satu program di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Naib Pengerusi DAP itu berkata, beliau juga menarik balik kenyataan kontroversi tersebut bagi mengelakkan isu berkenaan menjadi semakin buruk.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, ucapannya di Nilai telah disalah erti apabila ada media mendakwa beliau menggunakan perkataan ‘pendatang’ untuk merujuk kepada orang Melayu, manakala orang India sebagai penduduk asal Tanah Melayu.
“Saya dengan ini memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dengan perkataan yang telah saya ucapkan itu dan saya menarik balik perkataan yang menyinggung perasaan.
“Perkataan boleh mempunyai makna yang berbeza-beza jika diucapkan dalam bahasa yang berbeza-beza pula, misalnya apabila saya mengucapkannya dalam bahasa Tamil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.










