KUALA LUMPUR 17 Julai – Kelebihan bahasa Arab yang dituturkan oleh lebih 300 juta penduduk dunia tidak boleh dipandang lekeh kerana bahasa itu masih penting terutama bagi memahami sumber wahyu dan warisan ilmu yang pernah ditinggalkan dalam rekod sejarah.
Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, kedatangan Islam membuatkan bahasa Arab menjadi penting sebagai bahasa agama Islam kerana sumber wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah adalah dalam bahasa tersebut.
Beliau bagaimanapun mengakui apabila umat Islam menjadi lemah termasuk dalam menguasai ilmu-ilmu pembangunan kebendaan dan kemanusiaan seperti teknologi, arkitek, falsafah dan seni, turut mempengaruhi kedudukan bahasa tersebut.
“Maka bahasa lain khususnya bahasa Inggeris mengambil tempat dalam sebahagian ilmu. Namun tidak boleh dinafikan bahasa Arab kekal menjadi bahasa ilmu untuk memahami sumber wahyu dan warisan ilmu lain yang ditinggalkan dalam rekod sejarah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bahawa bahasa Arab bukan bahasa ilmu kerana tidak lagi digunakan oleh golongan profesional terkemuka dunia selain bukan lagi sebagai bahasa pengantara dalam sains, teknologi dan ekonomi.
Bahasa Arab bagaimanapun ketika ini menjadi antara bahasa utama dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain bahasa Inggeris, Perancis, Rusia, Sepanyol dan Mandarin.
Tambah Mohd. Asri, bahasa Arab tidak lagi hanya dituturkan oleh bangsa Arab sahaja dan telah tersebar ke merata tempat selari dengan perkembangan Islam.
“Maka, bahasa Arab merupakan bahasa ilmu khususnya ilmu wahyu yang merangkumi pelbagai aspek seluas Islam itu sendiri. Bahan-bahan perbincangan ilmiah agama Islam ditulis dalam Bahasa Arab.
“Kemudian, Islam menjadi kuasa tamadun yang kuat dan mempengaruhi dunia. Sekali gus bahasa Arab bertambah kuasa pengaruhnya sebagai bahan rujukan dalam perubatan, budaya, ketenteraan, seni dan lain-lain,” katanya.
![]() |
|
FATHUL BARI
|
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, tiada kesalahan untuk mendalami bahasa Arab memandangkan ia adalah bahasa al-Quran dan kelebihan menguasai bahasa itu membantu sesiapa sahaja mendalami kita suci tersebut.
Jelasnya, memang benar ilmu-ilmu moden tidak terkandung di dalam al-Quran secara terperinci namun kitab suci itu adalah panduan kepada manusia kerana tiada gunanya kemajuan gagal diiringi dengan sifat-sifat terpuji seperti yang diterkandung di dalam al-Quran.
“Saya sendiri menyokong sesiapa sahaja untuk mempelajari pelbagai bahasa sama ada Arab, Mandarin, Tamil serta Inggeris. Tetapi janganlah kita memandang remeh semua benda termasuk dalam aspek menguasai bahasa Arab untuk mendalami al-Quran,” katanya.











