Ku Li jadi Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO keputusan tepat - Utusan Malaysia

Ku Li jadi Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO keputusan tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 28 Julai – UMNO bahagian Gua Musang menyambut baik keputusan melantik Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pelantikan itu memberi peluang Tengku Razaleigh atau Ku Li untuk terus menyumbang bakti kepada parti.

Katanya, keputusan mewujudkan jemaah penasihat pula diyakini mampu memperkuatkan parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

“Ku Li mempunyai pengalaman luas dalam politik tanah air dan boleh memberi apa jua nasihat demi masa depan parti.

“Kita rasa berbangga apabila Ku Li dilantik pengerusi jemaah penasihat parti itu dan ada peranan untuk memperkuatkan parti,” katanya ketika ditemui selepas program Tazkirah Agama di Surau Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Tengku Razaleigh dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

Mengulas lanjut, Mohd. Syahbuddin mengakui selepas tewas dalam prebutan jawatan Presiden UMNO baru-baru ini, Tengku Razaleigh menyuarakan hasrat mahu bersara terus dalam politik.

Katanya, beliau bersama rombongan jawatankuasa UMNO bahagian Gua Musang segera menemui Tengku Razaleigh dan membuat rayuan supaya beliau terus menerajui UMNO bahagian itu.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO bahagian, Ab. Aziz Yusoff pula berkata, pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO adalah penghargaan terbaik daripada pucuk pimpinan parti.

“Parti UMNO memerlukan bimbingan Ku Li bagi mengekalkan sejarah dan kekuatan parti untuk orang Melayu itu dari dulu dan selama-lamanya.

“Kita tidak melihat kekalahan teruk parti itu pada PRU-14 lalu sebagai kehancuran politik orang Melayu, sebaliknya akan kembali kuat selepas menerima nasihat orang paling lama dan berpengalaman seperti Ku Li,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×