KSN nasihatkan agensi kerajaan, penjawat awam bersedia hadapi perubahan - Utusan Malaysia

KSN nasihatkan agensi kerajaan, penjawat awam bersedia hadapi perubahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengingatkan semua agensi kerajaan dan penjawat awam agar bersedia menghadapi cabaran perubahan dan gangguan (disrupsi) yang terhasil daripada ledakan teknologi.

Beliau berkata, idea-idea baharu akan wujud seperti melalui inovasi dan negara harus terus bersedia dari segi peraturan dan undang-undang dalam menghadapi keperluan perubahan.

“Disrupsi adalah perkara yang sentiasa berlaku sekarang.

“Sentiasalah bersedia. Banyak perubahan akan berlaku, adakah agensi-agensi bersiap sedia untuk melakukan perubahan?,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Gangguan Kepimpinan Asean 2018 di sini hari ini. 

Beliau berkata,pihak berkuasa terutamanya yang terbabit dengan perlesenan perlu lebih bersedia sambil memberi contoh bakat tempatan seperti syarikat Grab yang muncul dengan idea perniagaan baharu beberapa tahun lepas, namun berkemungkinan agensi kerajaan waktu itu tidak begitu bersedia dengan perubahan yang dicadangkan.

“Saya fikir agensi berkenaan tidak bersedia waktu itu. Oleh sebab itu ia (Grab) telah didaftarkan di negara lain.

“Ini adalah satu kehilangan peluang buat Malaysia,” kata Ali sambil mengingatkan prosedur dan cara kerja konvensional ada kalanya perlu bertukar. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN