LABUAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mempertimbangkan untuk menghentikan amalan monopoli dalam pembekalan barangan dan perkhidmatan yang terletak di bawah bidang kuasanya.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian itu sedang mengumpul maklumat berkaitan daripada pelbagai aspek di dalam setiap seksyen sektor perniagaan dan perkhidmatan yang bersifat monopoli.
“Kami sedang meneliti sama ada bekalan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai unsur monopoli * kami akan menentukan sama ada kami patut membenarkan dasar monopoli diteruskan atau sudah tiba masanya untuk kami menghentikan amalan ini dan membuka aktiviti perniagaan kepada mereka yang berkeupayaan dan mematuhi kriteria kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan dan menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri parti itu di sini malam tadi.
Saifuddin juga berkata, kementerian itu tidak menolak mengkaji semula (jika perlu) dasar sedia ada yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang membebankan pemegang kepentingan dan peniaga. – Bernama










