KOTA KINABALU – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas dua buah kapal bersama muatan bahan bakar diesel bernilai RM1.02 juta dalam satu serbuan di perairan negeri ini semalam.
Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah, V. Ravichandran berkata, sebanyak 88.3 liter diesel bernilai RM220,750 ditemui di dalam kedua-dua buah kapal tersebut yang disyaki terlibat dalam penyelewengan barang-barang kawalan berjadual di perairan ini.
Menurut Ravichandran, siasatan awal mendapati kedua-dua buah kapal milik syarikat tempatan itu telah beroperasi selama 30 tahun di sekitar perairan Sabah.
“Dalam operasi bersepadu semalam, kita telah melakukan pemeriksaan terhadap beberapa buah kapal di sekitar perairan ini.
“Dua kapal tersebut dikesan berada di dalam perairan negeri menjalankan operasi penyelewengan bahan bakar diesel melibatkan kesalahan ketiadaan lesen dan gagal merekodkan transaksi jualan antara pembekal dan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu KPDNHEP negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di perairan Kota Kinabalu di sini hari ini.
Hadir sama, Penolong Penguasa Marin Kastam Kota Kinabalu, Usman Sohod.
Dalam serbuan yang sama, tiga pekerja di atas kapal terbabit turut ditahan melibatkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia bagi membantu siasatan.
KPDNHEP turut melakukan sitaan terhadap kedua-dua buah kapal yang bernilai RM800,000 untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal menyelenggara buku stok, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan kesalahan berniaga tanpa lesen mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE










