PUTRAJAYA 3 Julai – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya akan menjadi berdaya maju daripada segi kewangan dan ekonomi jika terdapat pengurangan harga projek secara signifikan oleh kontraktor utama projek berkenaan, China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun kos asas pembinaan landasan keretapi sepanjang 688.3 kilometer itu berjumlah RM66.78 bilion namun perincian kos mendapati jumlah kos keseluruhan adalah RM80.92 bilion selepas mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi.
Beliau memberitahu, perbincangan kos akan diadakan dengan pihak kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam projek tersebut.
“Sehingga kini, kerajaan menerusi anak syarikat operasi miliknya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah membayar CCCC sejumlah RM19.68 bilion terdiri daripada bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion dan bayaran kemajuan sebanyak RM9.67 bilion (anggaran bundaran).
“Walau bagaimanapun, bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion bersandarkan bon pendahuluan dengan jumlah yang sama.
“Bon bayaran pendahuluan ini boleh ditebus oleh MRL untuk mendapatkan semula RM10.02 bilion tersebut. Dalam erti kata lain, sekiranya berlaku senario terburuk makaKerajaan Persekutuan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang dibayar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu,kerajaan juga menyedari terdapat tentangan hebat oleh Kerajaan negeri Selangor terhadap projek ECRL terutamanya berkenaan dengan landasan rel dari Terminal Bersepadu Gombak (ITT) ke Pelabuhan Klang.
“Mengikut Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Kerajaan Persekutuan dikehendaki berunding dengan kerajaan negeri sebelum melaksanakan mana-mana projek persekutuan di negeri yang berkenaan.
“Bantahan Kerajaan negeri Selangor ini adalah berdasarkan prinsip permohonan mereka untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang
Gates Quartz Ridge sepanjang 16km, yang merupakan permatang kuartza yang terpanjang di dunia,” katanya.
Ujar beliau, hanya apabila terdapat pengurangan harga yang signifikan, barulah Kerajaan Persekutuan boleh berbincang dengan kerajaan negeri Selangor tentang kebaikan atau keburukan projek ECRL ini berbanding dengan kebarangkalian penyenaraian Tapak Warisan Dunia UNESCO. – UTUSAN ONLINE










