Konvoi PKR hampir langgar kenderaan calon BN - Utusan Malaysia

Konvoi PKR hampir langgar kenderaan calon BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Kenderaan membawa calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berhadapan detik cemas apabila dihimpit konvoi kenderaan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 malam, ketika Lokman dalam perjalanan menuju ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jalan Kebun dari Kampung Sungai Kandis.

Rakaman video berdurasi 35 saat berkenaan kejadian tersebut dirakam dan dimuat turun sendiri oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu di laman sosial Instagram miliknya semalam.

Berdasarkan rakaman yang telah ditonton 5,137 pengguna laman itu mendapati dua buah kenderan termasuk kenderaan jenis Toyota Vellfire dipercayai membawa Mohd. Zawawi menggunakan lorong kecemasan menghimpit kenderaan dinaiki Lokman.

Presiden Pemantau Malaysia Baharu itu menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan tersebut yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Katanya, Mohd. Zawawi seharusnya menunjukkan tauladan yang baik kepada rakyat memandangkan beliau merupakan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Nasib baik tidak berlanggar (kenderaan kami) dengan mereka memotong menggunakan laluan kecemasan.

“Kalau saya, pemandu melanggar lampu isyarat sekalipun akan memarahinya. Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun kita harus mematuhi undang-undang walaupun hendak segera sampai di lokasi ditujui,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program walkabout bersama masyarakat India di sini hari ini.

Sementara itu, Lokman dalam laman Instagramnya menyifatkan tindakan tersebut sebagai samseng jalan raya.

“Baru 80 hari memerintah, belum pun memenangi pilihan raya kecil, rombongan calon Pakatan Harapan sudah menunjukkan belang mereka sebagai samseng jalan raya.

“Nasib baik tak melanggar kami tadi. Takkan Ustaz Zawawi tak boleh tegur pemandu beliau yang melanggar peraturan jalan raya dengan merempuh laluan kecemasan. Macam ini ke akhlak yang nak ditunjukkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi yang ditemui ketika program pemeriksaan kesihatan percuma di Dewan Sekolah Rendah Islam Al-Ainani menjelaskan beliau tidak pasti mengenai insiden tersebut dengan mendakwa jenteranya mematuhi segala undang-undang jalan raya. 

“(Perkara) itu di luar pengetahuan saya dan tidak pasti niat dia (Lokman) kerana banyak video memfitnah saya termasuk isu tarian gelek, durian dan memasuki sekolah yang sengaja memanaskan kempen PRK kali ini,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN