MUKADIMAH
PROTEGE kepada ikon pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik, FIRDAUS WONG WAI HUNG atau dikenali (Bro) Firdaus, 39, menyifatkan pendakwah berasal dari Mumbai India itu dicemburui ekstremis bukan Islam lantaran kesungguhan, komitmen dan pengorbanan dirinya untuk meningkatkan syiar Islam di seluruh dunia.
Menerusi wawancara bersama dengan wartawan Mingguan Malaysia, SAHIDAN JAAFAR, Firdaus yang pernah mengenali lebih dekat Dr. Zakir ketika menjalani latihan selama enam minggu semasa Program International Daie Training Programme (IDTP) di Mumbai India pada tahun 2016 mengakui usaha menjatuhkan pendakwah terkenal itu merupakan sebahagian komplot jahat yang didalangi ekstremis bukan Islam.
“Tuduhan yang mengatakan Dr. Zakir Naik adalah seorang pelampau agama tidak berasas sedangkan beliau sendiri tidak pernah terlibat dengan manamana aktiviti keganasan.
“Malahan, dalam ceramahnya beliau menentang keganasan dan anti keganasan.
“Beliau (Dr. Zakir) tidak suka kepada keganasan,” tegas Pengasas dan Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) Malaysia itu.
MINGGUAN: Apakah aura atau ciri-ciri pendakwah yang menarik perhatian saudara dalam diri Dr. Zakir?
Firdaus Wong: Saya telah mengenali Dr. Zakir sebelum ini menerusi (ceramah beliau) di Youtube dan sambutan orang ramai terhadap ketokohan beliau sebagai seorang ikon pendakwah bertaraf antarabangsa.
Saya betul-betul mengenali beliau hanya selepas saya menjalani program Intreraction Dakwah Centre 2016 (di Mumbai) selama enam minggu, di mana kami berpeluang berinteraksi secara lebih dekat.
Begini, pertama saya pernah memberitahu Dr. Zakir sendiri pada permulaan interaksi. Hubungan kami, bukannya sebagai seorang guru dan anak murid tetapi lebih daripada itu kerana kami kerap berkomunikasi.
Namun, selepas saya menjalani program interaktif dakwah di Mumbai, India (2016) selama enam minggu, saya dapat lihat kesungguhan dan komitmen beliau.
Ada pun kejayaan beliau yang dicemburui (bukan Islam) tidak lain dan tidak bukan, iaitu kesungguhan, komitmen dirinya dan pengorbanan beliau semata-mata untuk agama Islam.
Sebagaimana kami lihat dan ketahui, beliau hanya berehat lebih kurang sejam dalam sehari. Ya, tidur hanya dalam sejam sehari. Beliau banyak menghabiskan masa dan hidupnya merencana dan mengembangkan agama Islam.
Jadi, itu antara ciri-ciri yang saya gemari dalam diri Dr. Zakir iaitu komitmen dan disiplin beliau yang tinggi.
Sebagai pendakwah, apakah sumbangan Dr. Zakir terhadap Malaysia dan dunia Islam khasnya?
Firdaus Wong: Sebagai pendakwah, sumbangan Dr. Zakir terhadap dunia Islam tidak boleh dinafikan. Di Malaysia, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2013 oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Malahan, beliau juga telah dianugerahkan Anugerah Raja Faisal (Anugerah Diraja Arab Saudi) atas sumbangannya kepada dunia Islam.
Maka sebagai pendakwah yang dicemburui dan disegani, sebab itu ramai juga yang memusuhi beliau kerana kecekalannya. Begitulah lumrah dan sunnatullah, yakni pertembungan dengan yang hak dan batil itu sentiasa berlaku.
Jadi, sumbangan Dr. Zakir telah banyak menginspirasi orang Islam untuk berdakwah dan manusia yang lebih baik, memahami Islam dengan lebih tepat mengikut acuan Islam dan Sunnah.
Sebagai pendakwah apa pandangan saudara apabila ada pihak yang mencanangkan Dr. Zakir sebagai pelampau agama, malah dilabel sebagai pengganas?
Firdaus Wong: Pandangan saya, apabila ada pihak tertentu yang menyifatkan Dr. Zakir sebagai pelampau agama dan pengganas, pada saya wujud perancangan atau komplot untuk menjatuhkannya kerana beliau ikon dakwah antarabangsa dunia Islam.
Jikalau mereka mampu menjatuhkan Dr. Zakir, maka mereka akan lebih mudah untuk menjatuhkan individu-individu yang lain dan itu adalah sunnatullah.
Itu adalah perancangan mereka yang kita dapat lihat kerana tuduhan mereka tidak berasas. Di mana fakta di sebalik tuduhan yang mengatakan Dr. Zakir adalah pelampau agama?
Dr. Zakir tidak pernah menyuruh sesiapa untuk membunuh orang lain, menyuruh memukul orang lain berbanding dengan pelampau-pelampau agama lain.
Dan, Dr. Zakir Naik tidak pernah menyuruh untuk membunuh sesiapa pun berbanding dengan pelampau-pelampau agama Buddha di negara Myanmar, di mana Ketua Sami, Ashin Wirathu menerusi Pergerakan Buddha 969 menyeru dan menggerakkan sami-saminya untuk membunuh penduduk Islam Rohingya.
Bilakah beliau (Dr. Zakir Naik) menjadi pengganas sedangkan beliau tidak pernah terlibat dengan mana-mana aktiviti keganasan. Malahan, dalam ceramahnya beliau menentang keganasan dan anti keganasan. Beliau tidak suka kepada keganasan.
Jadi di sini timbulnya persoalan siapakah sebenarnya pelampau? Sudah tentu bukan Dr. Zakir.
Benarkah dakwaan penganut Hindu di Malaysia yang mendakwa Dr. Zakir menghina agama mereka?
Firdaus Wong: Dakwaan puak Hindu di Malaysia yang mengatakan Dr. Zakir menghina agama mereka adalah tidak berasas kerana apa yang beliau sebut ada dalam quotation kitab-kitab agama mereka sendiri.
Jadi, semua ini adalah tuduhan yang tidak berasas dan kalau tuduhan itu diterima maka hari ini kita sedang hidup dalam dunia yang fakta dan rujukan (berasaskan kitab) tidak benar – ia satu penghinaan.
Kerajaaan Malaysia dan Tun Dr. Mahathir berkata tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak soal Dr. Zakir kerana beliau ada seorang pemastautin tetap di Malaysia.
Firdaus Wong: Kami di MRM dan sekretariat menyokong penuh pendirian kerajaan untuk tidak menghantar pulang Dr. Zakir ke India.
Dan kerajaan tidak perlu tunduk kepada mana-mana pihak kerana jelas tuduhan kepada beliau itu tidak berasas sepertimana ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di negara itu.
Malah, Interpol sendiri telah membatalkan notis merah yang dikeluarkan ke atas Dr. Zakir. Maka ekstradisi ini tidak patut dibincangkan langsung dan negara perlu berbincang perkara yang lebih penting tentang ekstremisme dalam kalangan mereka yang bukan Islam juga.
Sebagai muslim kita menentang ekstremisme dan kita ingin mempertahankan kedaulatan negara.










