Kod Masa Depan bantu pelarian Britain - Utusan Malaysia

Kod Masa Depan bantu pelarian Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK sahaja pelarian Ethiopia, Sentayhu dibenarkan bekerja di Britain, dia mula mencari peluang pekerjaan yang boleh diterokainya.

Dia yakin, pengalaman bekerja sebagai pengendali laman web membolehkannya menyumbang sesuatu kepada industri teknologi di negara itu.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, tiada khabar gembira yang diterima, sekali gus menambahkan kerisauannya.

“Saya mencari pekerjaan di setiap laman web tetapi tiada apa-apa khabar gembira,” katanya yang melarikan diri dari Ethiopia atas alasan politik.

Pengangguran sangat tinggi dalam kalangan pelarian di Britain disebabkan oleh halangan bahasa dan budaya, kekurangan pengalaman serta terdapat beberapa kes berkaitan diskriminasi.

Pada tahun 2017 sahaja, terdapat kira-kira 15,000 pelarian yang diberikan suaka di Britain dan jumlah pelarian yang tinggal di negara itu pada penghujung tahun 2016 adalah seramai 119,000 orang.

“Kami melihat ramai pelarian yang mempunyai kemahiran dan pengalaman signifikan dari negara asal mereka tetapi terpaksa berjuang untuk membina kembali kerjaya mereka,” kata Ketua Majlis Pelarian Perkhidmatan Integrasi, Andrew Lawton.

Bergelut

Meskipun kecewa, Sentayhu tetap bersemangat untuk meneruskan kehidupan, sekali gus mendorong dia menghubungi Majlis Pelarian Perkhidmatan Integrasi.

Dia kemudiannya dirujuk kepada Kod Masa Depan iaitu program pengekodan percuma untuk pencari suaka.

Sejak itu, kehidupannya berubah dan selepas menamatkan kursus pada tahun 2017, dia ditawarkan jawatan sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat penerbitan berita global.

Terdahulu, dia menjalani kursus selama enam bulan dengan mempelajari pengaturcaraan komputer, menulis dan melakukan wawancara.

“Saya terlalu gembira apabila mendapat tawaran itu dan amat teruja sehingga tidak dapat tidur pada waktu malam.

“Kehidupan saya kini telah berubah sepenuhnya,” katanya yang merupakan salah seorang daripada 75 orang yang lulus dalam program pengekodan sejak ditubuhkan pada tahun 2016.

Pencari suaka di Britain tidak dibenarkan bekerja dan bergantung kepada elaun mingguan sekitar AS$53 (RM214.45) sehingga mereka mempunyai status pelarian.

Palang Merah Britain berkata, pihaknya telah mengedarkan makanan dan pakaian kepada kira-kira 15,000 pelarian miskin serta pencari suaka pada tahun 2017.

Sementara itu, Lawton berpendapat, syarikat-syarikat di negara itu harus mempertimbangkan skim pekerjaan untuk pelarian bagi merapatkan jurang yang wujud.

“Mereka mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman yang akan menyumbang kepada pembangunan organisasi sesebuah syarikat.

“Oleh itu, pihak pengurusan syarikat wajar memberikan peluang kepada mereka untuk berkhidmat berdasarkan kelebihan tersebut dan mempertimbangkan skim yang bersesuaian bagi merapatkan jurang,” katanya.

Kemahiran

German Bencci berkata, dia memulakan Kod Masa Depan untuk memberikan kemahiran pengaturcaraan komputer secara praktikal kepada pelarian sambil membantu mereka membentuk rangkaian dalam industri teknologi.

“Jika diajukan soalan tentang impian mereka dalam kehidupan, jawapannya ialah inginkan pekerjaan, mempunyai tempat tinggal dan diberikan keselamatan,” kata Bencci yang menguruskan lebih daripada 200 pelatih sukarelawan di London, Scotland dan England.

“Namun, agak sukar untuk meyakinkan pelarian bahawa mereka akan memperoleh pekerjaan setelah tamat program berkenaan,” tambahnya.

Menurut Bencci, pelarian begitu teruja apabila mendapat pekerjaan setelah tamat program yang diibaratkan seperti mimpi itu.

Seorang pelarian Iran, Mona Azami berkata, dia belajar pelbagai perkara menerusi program Kod Masa Depan itu.

Walaupun bekas pereka grafik itu bergelut untuk mencari pekerjaan di Britain, dia kini mampu tersenyum setelah ditawarkan jawatan sebagai pengendali laman web.

Ibu kepada seorang anak itu memberitahu, pekerjaan tersebut telah menghapuskan stereotaip gender dalam kalangan masyarakat di negaranya.

“Di Iran, saya hanya boleh menjadi ibu sepenuh masa yang menguruskan rumah tangga. Di sini, saya mendapat peluang untuk mencari pendapatan sendiri dan meluangkan sedikit masa melakukan sesuatu yang digemari,” katanya. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN