CHICAGO 28 Julai – Jurgen Klopp mentertawakan dakwaan Jose Mourinho, yang mengatakan Liverpool dilihat terdesak untuk memenangi Liga Perdana Inggeris sehingga terpaksa berbelanja besar.
Liverpool telah mengeluarkan duit poket yang banyak pada tahun ini dalam usaha merampas kejuaraan daripada Manchester City apabila berbelanja lebih 200 juta pound (RM1.07 bilion) untuk Alisson, Naby Keita, Fabinho, Xherdan Shaqiri dan Virgil van Dijk.
Mourinho minggu ini berkata aktiviti perpindahan Liverpool sepatutnya meingkatkan jangkaan untuk meraih gelaran.
Kloop, yang akan mengendalikan Liverpool untuk berdepan Manchester United di Michigan hari ini dalam Piala Kejuaraan Antarabangsa, mengakui dia kecewa dengan kenyataan Mourinho itu.
“Apa yang boleh saya katakan? Jose boleh cakap apa yang dia mahukan secara jujur.
“Saya tidak terlalu minat terhadap Manchester United. Saya yakin mereka akan membuat pembelian beberapa hari akan datang, namun kami tahu tanggungjawab kami.
“Kami rasa tanggungjawab kepada penyokong kami, pemilik kami, semua peminat di seluruh dunia, tiada yang lain. Itulah sutuasinya.
“Kami ada cita-cita, kami tidak pernah bercakap tentang perbezaan. Kami perlu memberikan sesuatu. Tetapi antara tugas kami ialah bermain dengan corak yang disukai peminat.
“Ia berlaku tahun lalu, mungkin juga tahun sebelumnya. Kami kini berada di dalam situasi di mana kami mahu mengambil langkah seterusnya.
“Tetapi lawan kami tidak akan berdiam diri. Ia bermakna tugas kami bukan mudah. Kami cuma rasakan bahawa kami sudah lebih bersedia berbanding tahun lalu. Itu sahaja,” – AFP










