BARU-BARU ini saya singgah di KL Sentral untuk menghantar ibu pulang ke kampung dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tetapi terkejut melihatkan keadaan bangunan tersebut.

Sebagai hab pengangkutan awam khususnya tren (kereta api), pasti ramai pelancong asing akan melalui atau turun di KL Sentral sama ada untuk berjalan-jalan sekitar ibu kota mahupun transit dalam perjalanan ke destinasi lain.
Perkara utama saya lihat adalah lif yang rosak dan kelihatan ‘uzur’ seolah-olah tiada penyelenggaraan. Bukan sahaja rupa fizikal dan kebersihan kemudahan itu perlu dijaga tetapi fungsi asasinya.
Saya dan ibu yang sudah melangkaui usia emas terpaksa menggunakan tangga dari parkir tingkat 4 disebabkan lif ‘berhantu’. satu lif langsung tidak bergerak sementara lif yang kami naiki hanya buka dan tutup pintu tetapi tidak bergerak ke tingkat lain.
Dalam perjalanan kembali ke parkir, saya ditegur pula sepasang ‘mat saleh’ meminta tolong menggunakan mesin tiket automatik. Mereka mengadu pegawai kaunter tiket tidak mahu membantu sebaliknya menyuruh mereka membeli tiket di mesin.
PEGAWAI PELANCONGAN
Cheras









