KUALA LUMPUR 3 Julai – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini mendoakan agar penggantinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya membawa kejayaan yang lebih besar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang pernah diterajuinya sebelum ini.
Khairy dalam muat naik Twitternya hari ini turut menyatakan keyakinan bahawa menteri termuda dalam barisan Kabinet baharu itu mampu untuk melaksanakan tugas-tugasnya dengan baik.
Ahli Parlimen Rembau berkenaan menyampaikan ucapan doa dan ucapan tahniah berkenaan selepas selesai menjalankan majlis serah tugas kepada Ahli Parlimen Muar itu pada satu majlis yang diadakan di pejabat KBS pagi tadi.
“Selesai penyerahan tugas kepada Menteri KBS baharu Yang Berhormat Syed Saddiq. Saya yakin anda akan dapat melaksanakan tugas dengan baik!
“Tahniah Syed Saddiq atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu. Saya doakan saudara dapat membawa kejayaan yang lebih besar kepada KBS,” kata Khairy dalam muat naik twitternya hari ini. – UTUSAN ONLINE










