BAGI sesetengah orang, kehidupan seorang anak seni mungkin kelihatan cukup indah. Glamour, dikenali ramai, sering muncul di kaca televisyen, menghadiri acara eksklusif selain menjadi pilihan pelbagai jenama.
Namun, di sebalik populariti dan perhatian yang diterima, terselit tanggungjawab serta pengorbanan yang tidak semua orang nampak.
Bagi pelakon, Hannah Delisha, dunia seni bukan sekadar berdiri di hadapan kamera dan melafazkan dialog. Sebaliknya, ia menuntut disiplin, komitmen, hubungan baik dengan orang sekeliling serta kesanggupan mengorbankan sebahagian daripada kehidupan peribadi.
Hannah yang cukup sinonim dengan pelbagai watak menerusi drama dan filem, mengakui kehidupan sebagai selebriti sememangnya menuntut pengorbanan besar, apatah lagi jika seseorang itu mahu terus bertahan dalam industri.
“Bagi saya, jangan cakap pasal berlakon sahajalah, hendak jadi seorang tokoh awam pun, banyak benda yang kena korbankan. Privasi adalah satu perkara. Dan kalau anda hendak mencari rezeki itu, memang anda kena bekerja keraslah.
“Macam golongan selebriti ini, kita bukan sahaja berlakon, kadang-kadang menjadi duta jenama dan sebagainya. Tidak dinafikan, kita memang tiada kehidupan. Tiada, pada dasarnya.
“Kalau kita ingin mencari duit, kita memang akan tidak ada kehidupan. Memang fikir mahu kerja dan kerja sahaja. Jadi, saya memang setuju apabila orang cakap disiplin itu penting sebab itu adalah yang paling utama jika hendak bertahan dalam industri ini,”katanya.

Menurut Hannah, kepentingan disiplin itu pula bukan hanya terhad kepada dunia seni. Dalam apa juga bidang pekerjaan, disiplin dan rasa hormat terhadap orang lain menjadi asas penting untuk memastikan sesebuah kerjaya dapat bertahan.
“Kita tengoklah apa sahaja pekerjaan pun kena ada disiplin. Kalau tidak, macam mana kerja hendak bergerak? Awak tidak akan pergi ke mana-mana dalam hidup.
“Satu lagi, sikap dan nilai hormat. Bukan sahaja untuk pelakon, semua, dalam mana-mana persekitaran kerja, hormat nombor satu. Kalau tiada rasa hormat itu, macam mana hendak bekerja? Tak akan lama bertahan, betul tak?”katanya.
Menyentuh persepsi segelintir masyarakat yang masih memandang kerjaya anak seni sebagai pekerjaan yang mudah atau kurang serius, Hannah melihat perkara itu daripada sudut berbeza.
Baginya, apabila seseorang memilih untuk berada di bawah perhatian umum, dia perlu bersedia menerima bukan sahaja kasih sayang dan pujian, malah kritikan serta kecaman.
Hannah mengakui perkara itu antara prinsip yang dipelajarinya sepanjang berada dalam industri hiburan.
“Ini ada satu lagi perkara. Ini apa yang saya belajar sepanjang tahun-tahun ini. Artis atau selebriti ini adalah produk hiburan. Nama kita, kerjaya, apa yang kita buat ini sebenarnya satu hiburan untuk masyarakat.
“Kalau tidak mahu stres, ingin kekal dalam profesion ini, saya ada satu prinsip iaitu kalau kita sanggup menerima kasih sayang, kita mesti sanggup menerima kebencian.
“Maksud saya, kalau awak boleh terima pujian, awak juga kena terima kecaman. Barulah awak tak akan makan hati sebab manusia lain,”ujarnya.

CABAR DIRI
Dalam perkembangan kerjayanya, Hannah juga tidak mahu terlalu selesa dengan satu-satu jenis watak. Sebaliknya, pelakon berkenaan menganggap setiap naskhah sebagai ruang untuk mencabar kemampuan diri dan mencuba sesuatu yang berbeza.
Antara karya yang menarik perhatian adalah drama Dia Perempuan Sialan arahan Nur Ain Sharif yang juga merupakan idea asal Erma Fatima.
PENGKARYA BERANI
Bagi Hannah, Erma ialah pengkarya yang berani mengekspresikan visi menerusi karya dan setiap projek yang dihasilkan diyakini mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan kepada masyarakat.
“Saya percaya Erma apabila dia buat sesuatu atau dia tulis sesuatu, setiap projek yang dia buat itu dia mesti ada sebab. Mesti ada satu mesej yang dia nak sampaikan.
“Jadi, ia mungkin kelihatan negatif kepada orang, tetapi kalau tidak ada cerita-cerita macam ini, bagi saya, macam cerita yang ada sekarang ini, jika tengok sama sahaja. Sangat membosankan dan mesejnya sama sahaja selama ini bukan?
“Sama ada kita mahu melihatnya atau tidak. Tetapi saya percaya setiap manusia memang ada pandangan mereka sendiri. Ada cita rasa mereka. Mungkin mereka tidak suka cara Erma atau mungkin projek-projek lain darinya. Mungkin yang bercakap itu, mereka suka cerita-cerita cinta, yang ringan dan bukan berat.
“Bagaimanapun, sebagai pelakon, saya suka mempunyai variasi yang berbeza. Itulah tujuan menjadi seorang pelakon. Kita perlu mencabar diri sendiri,”ujarnya.

EMOSI NERINA
Bercakap mengenai naskhah Dia Perempuan Sialan, Hannah berkongsi dia membawakan watak Nerina, seorang wanita yang melalui ujian besar dalam kehidupannya.
Bagi Hannah, cabaran utama menerusi watak itu adalah untuk meyakinkan penonton terhadap ketakutan Nerina apabila berdepan gangguan, selain bermain dengan pelbagai lapisan emosi dalam satu-satu babak.
“Mungkin sebab saya sudah lama tidak berlakon dalam cerita hantu maka saya rasa ada cabaran untuk watak ini. Saya perlu pastikan penonton percaya yang Nerina ini takut kalau ada babak-babak dia diganggu.
“Sekejap takut, boleh jadi marah dan kemudian atau tiba-tiba menangis. Jadi, ada beberapa emosi dalam satu babak itu,”ujarnya.
Bercerita mengenai pengalaman membintangi karya berunsur seram dan thriller, Hannah mengakui dirinya memang mempunyai minat terhadap perkara ghaib sejak kecil.
Baginya, ketakutan terhadap sesuatu yang tidak diketahui adalah perkara normal dan seseorang tidak boleh terlalu yakin dengan keberanian diri selagi belum diuji.
Hannah mengakui pengalaman berdepan babak-babak seram turut menguji emosinya sebagai pelakon.
“Kalau kita manusia diuji, tidak kira betapa beraninya kita, tetapi kalau kita diuji, kita tak boleh cakap kita sangat berani.
“Jadi bagi saya, apabila saya dapat tawaran untuk projek ini, saya okey, saya suka. Walaupun ada beberapa babak yang saya rasa macam, ‘Ya Allah, macam sama rupanya dalam mimpi saya,” kongsinya.











