IPOH – Sebuah kilang makanan ringan yang disyaki menggunakan logo halal tanpa kelulusan di Chemor dekat sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dua minggu lalu.
Timbalan Pengarah KPDNHEP Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan oleh lima anggota tersebut dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam mengenai keraguan logo halal makanan ringan dan kacang tanah yang dihasilkan kilang tersebut.
“Siasatan mendapati kilang tersebut pernah memiliki sijil pengesahan halal pada 2014, namun ia telah tamat tempoh pada 2016 dan pihak pengurusan kilang masih lagi menggunakan logo halal tersebut.
“Selain itu, terdapat juga produk makanan ringan yang dikeluarkan kilang tersebut menggunakan logo halal tanpa kelulusan dan logo tersebut tidak diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Shamsul Nizam, sehubungan itu pihaknya telah menyita 479 makanan ringan yang telah siap dibungkus, makanan ringan yang belum siap dibungkus (445) dan 59 bungkus kacang tanah yang bernilai RM1,198.
“KPDNHEP juga telah mengarahkan kilang yang telah beroperasi kira-kira 20 tahun itu untuk menarik semua produk berkaitan yang telah dipasarkan di negeri Perak dan Selangor.
“Pengurus kilang tersebut juga telah dirakam keterangan dan KPDNHEP mendapati kilang tersebut telah melakukan dua kesalahan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya. – K! ONLINE










