Kilang bungkus produk makanan ringan diserbu guna logo halal tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Kilang bungkus produk makanan ringan diserbu guna logo halal tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Padah menimpa kepada sebuah kilang pembungkusan makanan ringan di Taman Seri Kembangan di sini apabila diserbu pihak berkuasa kerana membungkus makanan ringan menggunakan logo halal tanpa kebenaran dan palsu pagi tadi.

Serbuan bermula pukul 9.30 pagi itu membawa kepada penyitaan 20 produk makanan ringan bernilai RM13,427.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hasil maklumat dan aduan orang awam mengenai pembungkusan produk yang meragukan oleh kilang terbabit.

Katanya, pemeriksaan mendapati kilang tersebut bukan pemegang sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Bagaimanapun, kilang tersebut didapati dengan sengaja menggunakan logo halal Jakim dan logo halal palsu pada plastik pembungkusan produk makanan bagi mengaburi pengguna.

“Kita telah menyita 20 produk makanan ringan seperti jeli, coklat, gula-gula dan jeruk kering yang diawetkan berjumlah RM13,427,” katanya pada sidang akhbar di bangunan JAIS di sini hari ini.

Wan Najmiah menambah, siasatan awal mendapati produk makanan ringan berkenaan dijual secara meluas di kedai-kedai runcit dan serbaneka di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati produk itu dikeluarkan syarikat tempatan dan syarikat daripada negara China yang diragui status halalnya termasuk kandungan gelatin pada jeruk terbabit yang disyaki mengandungi tulang atau kulit babi.

“Sampel produk itu telah dihantar ke makmal bahagian Hub Halal Jakim untuk tindakan lanjut dan kilang tersebut diarahkan menghentikan pengeluaran produk itu.

“Siasatan masih diteruskan sejak bila pembungkusan itu dilakukan dengan pemilik kilang yang kini berada di Kota Kinabalu, Sabah diarahkan memberikan keterangan,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Perintah 4(1) Perintah perihal Dagangan 2011 (perakuan & penandaan halal) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN