Khidmat kontraktor pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Raja bakal ditamatkan - Utusan Malaysia

Khidmat kontraktor pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Raja bakal ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 15 Julai – Kementerian Kesihatan hari ini memberi isyarat bahawa ia tidak lagi akan berkompromi dengan kelewatan pelaksanaan projek untuk rakyat dengan cadangan menamatkan khidmat kontraktor termasuk yang terlibat dalam pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Raja, Besut.

Menterinya, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan tersebut diputuskan setelah meneliti laporan serta maklumat daripada semua pihak berkaitan berikut prestasi kemajuan  projek yang melibatkan kos RM30 juta itu begitu lembab.

Katanya, klinik tersebut yanhg dibangunkan pada tahun 2017  dijadualkan siap pada 3 Februari 2019 namun kemajuan projek ketika ini hanya 29 peratus, sedangkan ia sepatutnya sudah mencapai tahap 59 peratus.

“Kontraktor  telah diberi amaran sebanyak lima kali selain dikesan mempunyai kelemahan kewangan yang tidak dapat diperbaiki dalam masa terdekat,” katanya pemberita dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja rasmi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan negeri, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar dan Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus.

Dr. Dzulkefly menegaskan, keputusan itu diambil sebagai isyarat kepada kontraktor yang terlibat mengendalikan projek seperti hospital dan klinik di bawah kementerian agar mengambil perhatian serius terhadap tanggungjawab mereka, dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan kepentingan rakyat.

Terdahulu, Dzulkefly turut meluangkan masa melawat kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang putus lengan kiri, Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli.

Beliau berkata, pihak hospital akan memberi sokongan penuh dari segi tindakan susulan yang boleh diambil

bagi memulihkan kanak-kanak malang itu agar dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya difahamkan kerajaan negeri mahu membantu adik Khumaira dan kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN