Khazanah: Kerajaan perlu calon setaraf, lebih baik - Utusan Malaysia

Khazanah: Kerajaan perlu calon setaraf, lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Kerajaan perlu mencalonkan barisan individu yang setaraf atau yang lebih baik bagi menggantikan sembilan ahli lembaga pengarah, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) yang telah meletakkan jawatan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peletakan jawatan itu tidak disenangi pihak pembangkang kerana kesemua ahli lembaga pengarah itu telah berkhidmat dengan cemerlang dan menyumbang kepada kejayaan syarikat.

“Walaupun peletakan jawatan itu dilihat akan membuka peluang kenaikan pangkat kepada kakitangan sedia ada, kerajaan juga boleh melantik individu pilihan mereka sendiri.

“Portfolio pelaburan Khazanah boleh terjejas jika lantikan ahli lembaga pengarah mereka dibuat secara ‘tangkap muat’ dan berbaur politik tanpa mengutamakan prinsip korporat yang baik.

“Jika diteliti kebolehan semua ahli lembaga pengarah terbabit, mereka benar-benar menerajui Khazanah dengan pengalaman dunia korporat seperti bank perdagangan serta Bank Negara Malaysia. Oleh itu, pembangkang berharap kerajaan mencalonkan barisan yang setaraf ataupun lebih baik, agar iklim pelaburan tempatan dan pelabur asing khasnya tidak terganggu,” katanya yang juga Presiden UMNO dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khazanah menerusi satu kenyataan hari ini mengesahkan semua sembilan ahli lembaga pengarah termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar telah meletakkan jawatan. Langkah tersebut adalah bagi memudah cara peralihan yang lancar dan teratur oleh kerajaan baharu.

Sementara itu, tambah Ahmad Zahid, isu peletakkan jawatan tersebut perlu ditangani oleh kerajaan agar tidak membantutkan pertumbuhan Khazanah serta syarikat milik kerajaan (GLC) di bawahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN