Khazanah dalam bahaya – Penganalisis - Utusan Malaysia

Khazanah dalam bahaya – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Julai – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) kini berada dalam keadaan bahaya ekoran peletakan jawatan sembilan Ahli Lembaga Pengarah sayap pelaburan negara itu, semalam.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba berkata, aset dan projek pembangunan melibatkan kos tinggi kini terbiar tanpa sebarang pemantauan atau pengelolaan daripada pihak atasan.

Perkara itu, tegasnya, tidak baik bagi kelangsungan operasi syarikat pelaburan tersebut dan kekosongan yang di­tinggalkan perlu diisi segera.

“Khazanah kini da­lam bahaya, projek pembangunan yang sedang berjalan dan yang bakal dijalankan tiada siapa memantau.

“Mereka yang bakal dicalonkan bagi mengisi kekosongan perlu dipilih secara tepat dan saya rasa Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) tidak memiliki masalah (untuk mengisi kekosongan),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Khazanah bakal me­nyaksikan rombakan besar-besaran berikutan peletakan jawatan beramai-ramai Ahli Lembaga Pe­ngarahnya, semalam.

Sementara itu, Ketua Pusat Perniagaan Sosial Yunus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Lokman Hakiem Osman berkata, peletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah secara langsung memberi kesan kepada pelaburan negara kerana agensi tersebut dilihat sebagai syarikat utama di Malaysia.

Katanya, sudah tentu situasi pasaran saham dan pelaburan akan terganggu apabila syarikat yang dianggap ‘ketua’ mengalami perubahan pucuk pimpinan.

“Bagaimanapun, kesan tersebut tidak lama dan akan pulih selepas ahli lembaga baharu dilantik. Kebiasaannya syarikat besar seperti ini mempunyai pelan perancangan jangka panjang yang boleh digunakan pakai pada situasi tidak diduga seperti dialami ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid berharap, kekoso­ngan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah tidak berlanjutan dalam suatu tempoh masa panjang kerana boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain ekonomi.

Jelasnya, hasil daripada kebimbangan itu akan me­ngakibatkan wujudnya spekulasi yang boleh memberi kesan kepada pasaran saham.

“Kekosongan sehingga men­cecah dua atau tiga minggu itu tidak baik kerana boleh menim­bulkan kegelisahan (pemain eko­nomi) sehingga mengakibatkan saham jatuh. Namun, perkara itu bukanlah satu-satunya faktor penyebab kepada berlakunya kejatuhan saham.

“GLC ini penting kerana berperanan besar dalam menentukan jatuh naik saham. Dalam ekonomi, soal penurunan saham dalam tempoh sehari dua tidak memberi implikasi besar selagi operasi syarikat tidak terjejas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN