KUALA LUMPUR 25 Julai – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah menolak tiga tawaran jawatan penting dalam kepemimpinan parti tersebut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, beliau telah meminta Khairy untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden sebelum pemilihan parti itu kerana Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien telah membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan, Ahli Parlimen Rembau itu memilih untuk bertanding jawatan Presiden.
“Selepas Khairy kalah, saya telah menawarkan sekali lagi jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tetapi beliau menolak juga.
“Sebelum pengumuman barisan baharu kepemimpinan UMNO, saya buat kali ketiga menawarkannya jawatan Ketua Penerangan dan beliau sekali lagi menolaknya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Khairy ketika ditemui berkata, beliau menolak dua tawaran daripada Ahmad Zahid kerana tidak mahu terikat dengan keputusan parti ketika ini.
“Ketika ini saya mahu jadi suara bebas dalam UMNO, saya masih bersama UMNO tetapi biarlah saya ada kebebasan untuk menyatakan pandangan saya.
“Beliau bercakap semula dengan saya sebentar tadi selepas tindakan ahli Parlimen pembangkang keluar dewan minggu lalu. Namun hubungan kami masih baik cuma biasalah ada sedikit tekanan, beliau seperti abang bagi saya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










