KOTA KINABALU – Pergerakan Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (UPKO) tidak terjejas dengan pengunduran bekas Ketua Pemuda UPKO, Arthur Sen semalam.
Pemangku Ketua Pemuda UPKO, Kennedy G. John berkata, pengunduran Arthur merupakan keputusan individu yang tidak menggambarkan suara majoriti pemuda UPKO.
Menurut Kennedy, barisan pemuda UPKO kekal memberikan sokongan kepada pucuk pimpinan parti diterajui Pemangku Presiden, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.
“Barisan Exco pemuda masih bersatu dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap pimpinan UPKO di bawah Wilfred Madius Tangau.
“Kita terkejut dengan keputusan Arthur, bagaimanapun ia merupakan tindakan bersifat individu. Sehingga kini tiada ahli pemuda yang mengikut serta beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Ibu Pejabat UPKO di sini hari ini.
Menggalas tanggungjawab sebagai pemangku Ketua Pemuda UPKO selepas jawatan itu dikosongkan Arthur, Kennedy berkata, Pemuda akan menumpukan perhatian terhadap pemilihan parti.
Tambahnya pemilihan di peringkat cawangan telah pun berlangsung, manakala pemilihan pusat dan bahagian dijangka berlangsung pada September ini.
Semalam, Arthur dilaporkan menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Ketua Pemuda UPKO kepada pemangku presiden parti.
Dalam surat bertarikh 23 Julai itu, Arthur bukan sahaja meletak jawatan sebagai Ketua Pemuda merangkap Naib Presiden UPKO, tetapi juga sebagai anggota parti itu dan tiga lagi jawatan dalam parti iaitu Pengerusi Biro Aduan Awam UPKO Pusat, Naib Ketua Bahagian UPKO Ranau dan Ketua Cawangan UPKO Kampung Rapak, Ranau. – K! ONLINE










