KUANTAN – Seorang Ketua Balai Bomba Peramu, Pekan, dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa melibatkan penggunaan khidmat syarikat Isterinya sejak Mac 2014.
Tertuduh, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 53, mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.
Dia diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar didakwa menggunakan kedudukannya untuk mencadangkan syarikat milik isterinya Puncak Cahaya Azam Enterprise bagi pembelian dan penyediaan makanan bagi program serta operasi melibatkan anggota bomba di balai tempat dia berkhidmat antara Mac 2014 hingga 3 Ogos 2015 dengan amaun keseluruhan RM36,279.69.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, individu terlibat berdepan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Mohamad Fadhly Mohd. Zamry. -K! ONLINE










