Ketua balai bomba didakwa salah guna kuasa - Utusan Malaysia

Ketua balai bomba didakwa salah guna kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 25 Julai -Seorang ketua balai bomba dan penyelamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan salah guna kuasa membabitkan penggunaan khidmat penyediaan makanan syarikat milik isterinya sejak Mac 2014.

Tertuduh, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 53, mohon dibicarakan atas 10 pertuduhan yang dibacakan di depan hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.

Ketua Balai Bomba Peramu di Pekan, dekat sini itu yang diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar didakwa menggunakan kedudukannya untuk mencadangkan syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise bagi pembelian dan penyediaan makanan untuk program serta operasi melibatkan anggota bomba di balai tempat dia berkhidmat antara Mac 2014 hingga 3 Ogos 2015 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM36,279.69.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, individu terlibat berdepan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes kendalian Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry itu akan disebut semula 16 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN