Keterujaan pertarungan Pacquiao, Matthysse hujung minggu ini - Utusan Malaysia

Keterujaan pertarungan Pacquiao, Matthysse hujung minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN seluruh anggota keluarga di Kuala Lumpur memberikan legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao kekuatan dan keyakinan apabila bertarung menentang juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse di Kuala Lumpur hujung minggu ini.

Senator Filipina itu akan ber­usaha merampas gelaran daripada petinju profesional Argentina tersebut yang akan mempertahankan kejuaraan berkenaan pada pertarungan yang dinanti-nantikan di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad ini.

“Saya gembira dapat bertemu peminat di sini, namun perkara lebih penting keluarga saya berada di Malaysia untuk memberi sokongan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia juga memberi kelebihan kepada saya dengan kehadiran lebih ramai penonton menyaksikan pertarungan itu tetapi saya tidak akan mengambil mudah. Saya harus memastikan untuk memberi tumpuan 100 peratus dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Pacquiao mengakui bahawa beliau adalah individu yang berfikiran positif serta sentiasa mahukan kemenangan dalam setiap pertarungan dan perkataan kalah tidak pernah terlintas dalam mindanya.

Pacquiao yang juga dikenali sebagai ‘Pacman’, 39, merupakan satu-satunya juara dunia bagi ke­semua lapan divisyen dengan mencatat 59 kemenangan (38 knock-out), tujuh kekalahan dan dua seri dalam kariernya.

Sementara itu, Matthysse berkata, beliau semakin merasakan seperti berada di ‘kampung halamannya’ apabila berada di Kuala Lumpur sejak tiba dari Amerika Syarikat, Khamis lepas.

“Hanya beberapa hari lagi sebelum pertarungan. Saya berasa tenang dalam keadaan baik dan bersedia dengan cabaran itu. Saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan masa di sini, selain menjalani latihan dan rehat yang baik. Segalanya berjalan lancar.

“Saya sudah mempersiapkan diri untuk pertarungan ini dan ya­kin 100 peratus dapat mengekalkan kejuaraan,” kata­nya.

Petinju berusia 35 tahun itu dikenali sebagai ‘The Machine’ kerana pukulan kencangnya dan sudah meraih 39 kemenangan (36 knock-out) berbanding empat kekalahan.

Matthysse memenangi kejua­raan tersebut pada Januari lepas, setelah menumbangkan petinju Thailand, Tewa Kiram. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×