JOHOR BAHRU 3 Julai – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri kesal tindakan sesetengah ibu bapa yang bersikap lepas tangan meninggalkan anak kurang upaya (OKU) mereka di institusi perlindungan sebelum menghilangkan diri.
Ketua Penolong Pengarahnya, Adnan Md. Yassin berkata, dianggarkan 75 peratus ibu bapa bertindak demikian dan perbuatan itu menyebabkan institusi berkenaan terpaksa mengambil alih tanggungjawab mereka memelihara anak OKU hingga meningkat usia.
“Intitusi perlindungan yang ditubuhkan kerajaan di bawah seliaan JKM ini bukannya tempat untuk menjaga anak OKU sebaliknya merupakan jalan terakhir khusus kepada keluarga yang tidak berkemampuan.
“Malangnya, ada ibu bapa yang bertindak lepas tangan dan tidak dapat dihubungi memaksa institusi untuk memelihara mereka sehingga meningkat usia dan ada antaranya sampai menghembuskan nafas yang terakhir,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Taman Sinar Harapan Tampoi 2018 di sini, hari ini.
Adnan berkata, pada masa ini, terdapat kira-kira 1,300 klien di bawah seliaan JKM negeri di beberapa institusi perlindungan membabitkan Taman Sinar Harapan Tampoi untuk OKU lelaki, Taman Sinar Harapan Jubli untuk OKU wanita serta Rumah Seri Kenangan untuk warga emas dan sebagainya.
Katanya, ada juga keluarga yang berkemampuan turut menghantar anak mereka ke institusi berkenaan kerana terdapat kekangan lain seperti komitmen kerja dan sebagainya.
“Zaman kini sudah berubah dan kesedaran ibu bapa terhadap penjagaan anak-anak OKU kini semakin meningkat disebabkan keprihatinan mereka selain kerajaan juga dari semasa ke semasa meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Kalau dahulu, ada segelintir masyarakat yang malu untuk berdepan dengan masyarakat kerana mempunyai anak OKU. Namun, kini situasi sudah berubah dan kerajaan sendiri turut main peranan melakukan penambahbaikan daripada segi mutu perkhidmatan,” katanya.










