GEORGE TOWN – Tiga lagi kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Moh Ghee Pusat di Lorong Perak di sini menerima notis penutupan selama 10 hari berkuat kuasa hari ini ekoran murid-muridnya terdedah penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Jamil Mohamed berkata kepada Kosmo! tadi, sebanyak tiga kes HMFD disahkan berlaku di sekolah berkenaan melibatkan kelas Tahun 3.
“Hanya tiga kelas di Tahun Tiga sekolah itu sahaja yang diarah tutup dan dibenarkan dibuka semula pada 26 Julai ini manakala kelas-kelas yang tidak terlibat perlu hadir ke sekolah seperti biasa,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Mohd. Jamil memberitahu, SJKC Phor Tay yang ditutup selama 10 hari sejak 7 Julai lalu telahpun dibuka hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, sebanyak 73 kelas di tujuh buah sekolah di negeri masih ditutup selama 10 hari sejak minggu lalu selepas murid-muridnya dilaporkan terdedah kepada penularan HFMD.
Jumlah penutupan kelas berkenaan melibatkan SJKC Phor Tay (enam kelas), SJKC Shih Chung (39 kelas), SJKC Sum Sun (sembilan), SJKC Chong Cheng (11), Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap (sebuah kelas), SJKC Sum Min 1 (empat) dan SK Saujana Indah (tiga kelas). – K! ONLINE










